25 Januari 2010

Tunku Ibrahim: Pewaris Takhta Berjiwa Rakyat


Tunku Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dimahsyurkan sebagai Sultan Johor hari ini, adalah seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.
Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang menjadi makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.